KELUARGA PENAGIH

BACHOK – Pengaruh dadah telah lama menular dalam masyarakat Malaysia, malah golongan wanita juga tidak diketepikan.

Kebanyakannya akibat dipengaruhi persekitaran atau lelaki dalam hidup mereka seperti bapa, abang, teman lelaki atau rakan sebaya.

Pengaruh rakan serumah

Akibat pengaruh rakan serumah, seorang remaja berusia 18 tahun terjebak dengan dadah seawal usia 15 tahun.

Nur (bukan nama sebenar) menamatkan persekolahannya lebih awal selepas terlibat dalam pelbagai masalah disiplin.

Dia kemudiannya mengikut sepupu ke Kuantan untuk bekerja sebelum ke Kuala Lumpur bersama rakan.

“Saya terlibat dengan ice di Kuala Lumpur. Mulanya merokok sahaja, lepas itu dua rakan serumah lelaki syorkan saya cuba ice.

“Sejak itu saya guna ice hingga saya balik kampung tahun lepas. Bila balik kampung, dua bulan saya tinggalkan ice. Tidak lama lepas tu saya terlibat pula dengan pil kuda,” kata anak sulung dari enam beradik ini.

Katanya, tertekan akibat perceraian ibu bapa membuatkan dia mengambil pil kuda.

Apabila bapanya mendapat tahu Nur terlibat dengan dadah, bapanya menghantar dia ke pusat rawatan swasta di Chicha.

“Saya tinggal di sana 11 hari dan kemudian melarikan diri, namun saya ditangkap, ditahan di lokap sebelum dibawa bapa ke Cure&Care (C&C) Bachok ini Oktober tahun lepas.

“Di sini saya lebih selesa dengan pendekatannya. Saya harap saya boleh berubah dan mulakan hidup baru lepas keluar kelak,” katanya.

Kerana ingin tahu

 
Seorang bekas pelajar institusi pengajian tinggi swasta di Melaka, merosakkan masa depannya sendiri dengan mencuba mengambil syabu diperkenalkan sepupu.

Selepas beberapa tahun mengambil syabu, Tie (bukan nama sebenar), 26, mula menunjukkan sikap kurang ajar dengan keluarga sebelum mereka mengesyakinya terlibat dengan dadah.

Diperkenalkan sepupunya, Tie mencuba syabu kerana sifat ingin tahu dan kemudian menjebakkan diri dengan perkahwinan bersama seorang penagih.

“Saya dibesarkan ibu saudara sebelah bapa di Kuching, Sarawak selepas ibu bapa bercerai.

“Ketika remaja saya mudah terpengaruh dengan ajakan orang lain hingga mencuba dadah hingga berkahwin dengan penagih, tetapi sudah bercerai.

"Saya ada seorang anak berusia enam tahun yang juga dibela ibu saudara,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Katanya, akibat pengaruh dadah, dia sering ponteng kuliah dan akhirnya gagal menamatkan pengajian.

Tie berkata, dia masih tidak yakin untuk berdepan dugaan di luar dan memilih tinggal di C&C Bachok sebagai pembimbing rakan sebaya (PRS).

Difahamkan, Tie menjadi naib johan tilawah al-Quran dan pertandingan nasyid peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Bapa juga penagih

Kak Ma (bukan nama sebenar), 47, membesar dalam persekitaran penagihan dadah di Lorong Haji Taib, malah bapanya juga seorang penagih.

Dia yang sering ditangkap itu pernah menjual dadah pada 1996 sebagai punca pendapatan.

“Saya harap kali ini saya tidak terlibat lagi dengan dadah walaupun selepas keluar.

"Saya ingin mohon berkhidmat di sini sebagai sukarela agar tidak mendekati lagi lokasi penagihan dadah,” katanya yang masih mempunyai ibu di Perak. - SH -





<< KEMBALI