IBU HAMIL POSITIF DADAH

Noradila Arifin, 30, yang mengandung anak ketiga disahkan positif syabu dan didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 2002).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu dua anak itu ketika pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Noradila Ab Latif dan tertuduh mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, tertuduh merayu ia dikurangkan dengan alasan dia mempunyai dua anak untuk ditanggung selain sarat mengandung dan tidak bekerja.

Noradila kemudian membenarkan jaminan RM1,300 dan menetapkan 2 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia berhubung kes berkenaan.

Sehingga jam 3 petang semalam, tertuduh dikatakan belum membayar jaminan dan jika tiada penjamin, dia akan ditahan di Penjara Wanita Pengkalan Chepa, Kelantan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan bersama suaminya berusia 32 tahun di rumah mereka di Jalan Pasir Panjang, di sini, jam 5.32 petang kelmarin selepas sepasukan 11 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu melakukan serbuan ke rumah itu hasil maklumat awam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid ketika ditemui di pejabatnya berkata, ujian air kencing suami tertuduh yang berasal dari Kampung Ladang Tok Pelam, di sini, dan bekerja sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di Paka, Dungun, mendapati positif syabu dan pil kuda.

Beliau berkata, suami tertuduh yang direman sehingga Ahad ini adalah penagih tegar yang mengambil syabu dan pil kuda sejak setahun lalu manakala isterinya mendakwa mula mengambil pil kuda sejak awal tahun lalu kerana tekanan hidup.

“Kami kesal kerana tertuduh mengambil syabu iaitu jenis dadah paling kuat ketika sarat mengandung dan dikhuatiri menyebabkan kandungannya cacat kerana syabu ada kandungan methamphetamine sangat tinggi iaitu 90 peratus. “Berdasarkan siasatan, suaminya mengambil sebiji pil kuda setiap hari dengan anggaran perbelanjaan RM30 sehari manakala isterinya ketagih syabu dan membelanjakan kira-kira RM400 setiap kali mengambil dadah itu,” katanya. - Harian Metro -





<< KEMBALI